X
KETUA Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor bersama Haslina mendengar penerangan mengenai makanan fungsi.
KETUA Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor bersama Haslina mendengar penerangan mengenai makanan fungsi.
Hafiz Ithnin


MALAYSIA sememangnya kaya dengan pelbagai sumber bumi yang mampu menghasilkan makanan terbaik kepada masyarakatnya.

Tidak dinafikan dalam setiap Rancangan Malaysia pasti terdapat peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk disalurkan kepada agensi yang membuat penyelidikan di dalam bidang berkenaan iaitu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Hasilnya, terdapat pelbagai makanan yang kini mampu memberi kesan baik kepada pengguna atau dikenali sebagai makanan fungsi.

Makanan fungsi ini menggunakan bahan semula jadi hasil kajian daripada penyelidik bagi memastikan makanan yang dihasilkan mampu memberi manfaat kepada kesihatan pengguna.

Apatah lagi, ketika ini kesedaran mengenai penjagaan kesihatan amat diberi keutamaan oleh rakyat memandangkan berlaku isu masalah kesihatan yang tidak mampu dijangka seperti pendamik Covid-19.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menghadiri majlis pelancaran Seminar Kebangsaan Teknologi Makanan dan turut dilancarkan empat produk inovasi makanan hasil penyelidikan Mardi.

Pada acara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid turut menyentuh mengenai kepentingan makanan fungsi yang sumbernya daripada hasil semula jadi negara dan boleh dikomersialkan.

Katanya, di Mardi sendiri ada penyelidik yang terus membuat pelbagai kajian dalam teknologi makanan untuk menghasilkan makanan fungsi.

"Di dalam Rancangan Malaysia ke-11, Mardi sendiri sudah menghasilkan 11 makanan berfungsi yang sedia untuk dikomersialkan di dalam pasaran.

DR Marzlan Kaslan membuat kajian dan menghasilkan makanan fungsi, sup campuran ubi serta sayuran diperkaya dengan ekstrak pegaga.
DR Marzlan Kaslan membuat kajian dan menghasilkan makanan fungsi, sup campuran ubi serta sayuran diperkaya dengan ekstrak pegaga.

"Dalam Rancangan Malaysia ke-12 pula kita sasarkan 28 teknologi makanan dalam tempoh empat tahun," katanya.

Sebelum ini, Mardi sudah melancarkan beberapa teknologi makanan fungsi iaitu Cocos Emulsion, sejenis produk seumpama minyak ikan, tetapi dibuat daripada kelapa yang sesuai untuk kanak-kanak.

Selain itu, serbuk rumpai laut tinggi serat diet, i bar nutrisi untuk warga emas, konfeksi ais untuk warga emas yang tidak toleran laktosa dan terdapat masalah untuk menelan (disfagia).

Tidak sekadar itu, Mardi juga sudah memperkenalkan bijirin padat nutrisi berasaskan buah-buahan untuk warga emasa dan peratha daripada ubi serta sayur- sayuran tanpa gluten.

Terbaharu yang turut dilancarkan pada majlis itu ialah empat lagi teknologi makanan iaitu sup campuran diperkaya ekstrak pegaga, tepung pracampuran puding jeli tinggi protein, tepung pracampuran roti prebiotik dan air kelapa difentasi.

Menjelaskan mengenai empat makanan fungsi berkenaan, Haslina berkata, dia dimaklumkan mengenai sup campuran ubi dan sayur-sayuran diperkayakan ekstrak pegaga dibangunkan untuk membantu golongan warga emas mengekalkan kehidupan sihat.

Katanya, ia dihasilkan daripada ubi keledek oren, cendawan tiram kelabu, bayam dan ekstrak pegaga sebagai bahan utama yang menyumbang kepada ciri-ciri organoleptik, nutrisi serta kefungsian.

"Tepung pracampuran pudding jeli tinggi protein berasaskan ubi dan sayur-sayuran. Pracampuran pudding itu diformulasikan secara khusus untuk warga emas dengan mengandungi protein tinggi.

DR Khairunizah Hazila Khalid menghasilkan makanan fungsi pracampuran puding jeli tinggi protein.
DR Khairunizah Hazila Khalid menghasilkan makanan fungsi pracampuran puding jeli tinggi protein.

"Pengambilan tiga uncang pudding jeli tinggi protein sehari dapat memenuhi saranan pengambilan protein sehari Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA)," katanya.

Menjelaskan mengenai tepung pracampuran roti ubi kayu tinggi serat pula ia mengandungi serat diet tinggi dan sumber mineral yang baik, produk tanpa gluten dan berciri prebiotik yang mampu menggalakkan pertumbuhan mikro organisma baik dalam usus.

Bagi air kelapa difermentasi pula mengandungi mineral dan asid laktik yang tinggi serta tiada bahan pengawet.

Penggabungan dua jenis kultur mikro organisma dan ramuan formulasi memberi nilai tambah hasilan air kelapa tua.

Haslina berkata, hasil teknologi makanan yang menghasilkan makanan fungsi mampu mewujudkan usahawan baharu dalam pengeluaran makanan berkenaan dan mencipta peluang pekerjaan.

"Ia juga dapat meningkatkan pasaran produk makanan fungsi tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada makanan fungsi import.

"Malah, tidak mustahil dengan hasil bumi kita yang baik, Malaysia mampu menjadi hab pengeluaran makanan fungsi di rantau Asia Pasifik pada masa depan," katanya.

Statistik menunjukkan rantau Asia Pasifik mendahului pasaran makanan fungsi dunia dengan nilai diunjurkan meningkat dua kali ganda daripada RM206 bilion pada 2015 kepada RM421 bilion menjelang 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 6:40 AM
含羞草实验室入口-含羞草免费人成视频在线观看