FENOMENA ‘aurora borealis’ yang menakjubkan di Greenland.
FENOMENA ‘aurora borealis’ yang menakjubkan di Greenland.
Ayu Hasman

PELUANG mengembara ke Greenland, Denmark antara pengalaman yang paling mahal dalam hidup penulis.

Ia bukan sahaja mahal dari segi kos, malah pengalaman yang diperoleh juga sedikit sebanyak berjaya mengubah persepsi penulis terhadap Greenland yang kira-kira 79 peratus permukaannya terdiri daripada lapisan ais.

Impian ke Greenland sebenarnya muncul tanpa dirancang ketika mengembara di utara Norway sebelum itu apabila penulis dan rakan secara spontan merancang untuk ke sana.

Genap setahun selepas melakukan ekspedisi memburu aurora di Norway, pada Disember 2017 penulis dan rakan termasuk Safrul Izham Ramlan berjumpa kembali di Copenhagen bagi memulakan misi memburu aurora di Greenland.

Bagaimanapun, ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Copenhagen, penulis berdepan situasi yang agak mencemaskan apabila ditahan dan disoal siasat di kaunter imigresen.

Pegawai imigresen itu jelas kelihatan tidak percaya yang penulis dan rakan ingin bercuti serta mengembara ke Greenland ketika musim sejuk.

PENULIS (kanan) bersama rakan.
PENULIS (kanan) bersama rakan.

Penulis menghulurkan semua dokumen perjalanan, tempahan penginapan dan itineri kepada pegawai imigresen berkenaan. Pegawai itu kemudian membuat beberapa panggilan bagi mengesahkannya.

Pegawai itu menghubungi syarikat penerbangan dan tempat penginapan kami untuk membuat pengesahan tempahan sebelum akhirnya 'cop' yang ditunggu diperoleh dan pasport dipulangkan.

Penulis menarik nafas lega, namun sebelum beredar, pegawai berkenaan sempat berpesan, 'Enjoy your holiday, and good luck in Greenland!'.

Meskipun pelik dengan ucapan semoga berjaya itu, penulis tidak terlalu memikirkan kerana teruja untuk menjejakkan kaki ke Greenland.

Keesokan harinya, penulis dan rakan menaiki penebangan terus dari Copenhagen menuju ke Kangerlussuaq yang mengambil masa selama empat jam 40 minit.

Harga tiket untuk penerbangan dua hala, Air Greenland adalah sekitar RM4,000 dan ia tiket penerbangan yang paling mahal dalam hidup penulis.

KAWASAN  Lapangan Terbang Kangerlussuaq yang dilitupi salji.
KAWASAN Lapangan Terbang Kangerlussuaq yang dilitupi salji.

Pengalaman menaiki penerbangan Air Greenland adalah pengalaman yang unik kerana majoriti anak kapal terdiri daripada penumpang yang agak berumur, namun mereka peramah selain bersifat keibuan.

Kangerlussuaq adalah sebuah bandar kecil di Greenland barat dan terkenal dengan lapangan terbangnya yang menjadi hab pengangkutan antarabangsa utama pulau itu.

Sebaik sahaja kapten kapal membuat pengumuman untuk persediaan mendarat, kelihatan ramai penumpang mengambil sesuatu di bahagian tempat penyimpanan barang dan ada yang berpusu-pusu menuju ke tandas.

Dalam masa beberapa minit, hampir seluruh penumpang lengkap memakai pakaian sejuk kecuali kami yang masih terpingga-pingga kerana semua kelengkapan berada dalam bagasi.

Ketika pesawat hampir mendarat, jelas kelihatan daripada tingkap, seluruh 'fjord,' laut dan seluruh kawasan penuh dilitupi salji selain terasa seperti berada di planet asing.

Hampir keseluruhan kawasan lapangan terbang itu juga turut dilitupi salji.

Selepas selesai urusan mengambil bagasi, penulis dan rakan mula mencari arah lokasi 'guesthouse' yang kami tempah menggunakan aplikasi Google Map.

Dalam kesejukkan -24 darjah Celsius, kami berjalan menuju ke rumah tumpangan yang terletak betul-betul bersebelahan dengan lapangan terbang.

Suhu ketika musim sejuk mencecah sehingga -30 darjah Celsius manakala pada musim panas tidak lebih daripada 10 darjah Celsius.

MUZIUM Kangerlussuaq.
MUZIUM Kangerlussuaq.

Kawasan di sekitar bandar Kangerlussuaq ini agak lapang tanpa sebarang pokok besar.

Bahasa utama penduduk Greenland adalah Greenlandic (Kalaallisut) yang juga bahasa 'Inuit' milik keluarga bahasa Eskimo-Aleut) dan bahasa Danish namun bahasa Inggeris juga turut digunakan secara meluas di sini.

Disebabkan penduduknya tidak ramai boleh dikatakan mereka saling mengenali antara satu sama lain.

Sepanjang berada di Kangerlussuaq, penulis perhatikan penduduknya peramah dan mengambil berat antara satu sama lain termasuk kepada pelancong.

Ketika musim sejuk, sebelah siang sangat singkat, iaitu kira-kira empat jam sehari dan matahari terbit sekitar jam 10 pagi serta terbenam sekitar jam 2 petang.

Disebabkan siang teramat singkat, jarak solat Zuhur dan Asar hanya selisih antara 10 hingga 20 minit sahaja.

Ketika musim sejuk juga, kawasan di bahagian Garisan Artik terkenal dengan fenomena 'aurora borealis', cahaya berwarna-warni seakan-akan menari-nari di langit ketika sebelah malam.

Cahaya aurora di Greenland diakui sangat indah dan unik, pada malam pertama kami disambut dengan cahaya aurora berwarna putih, hijau, ungu serta merah jambu.

PEMANDANGAN di Kangerlussuaq.
PEMANDANGAN di Kangerlussuaq.

Memang penulis puas hati kerana dapat merakam gambar aurora dalam pelbagai warna walaupun suhu ketika itu mencecah -28 darjah Celsius.

Disebabkan lokasi Greenland berhampiran Kutub Utara, spektrum warna yang terhasil sememangnya menakjubkan.

Kurangnya pencemaran juga turut menjadi faktor keunikan cahaya aurora yang muncul di Greenland.

Ia sekali gus menjadikan Greenland sebagai antara lokasi popular untuk menjejak aurora.

Walaupun tujuan utama ke sana untuk memburu aurora, penulis dan rakan juga turut melakukan aktiviti lain pada sebelah siang.

Kami berkesempatan melakukan pelbagai aktiviti seperti mendaki di kawasan tundra sambil memerhati haiwan liar seperti 'musk ox', 'reindeer' dan 'snowshoe hare'.

*- Bersambung minggu depan*

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 7:01 AM
含羞草实验室入口-含羞草免费人成视频在线观看