X
Lizam Ridzuan


NISSAN Leaf dengan kuasa elektrik sepenuhnya.
NISSAN Leaf dengan kuasa elektrik sepenuhnya.

BAYANGKAN anda memandu kenderaan tanpa perlu mengisi bahan api untuk selama-lamanya.

Selain memberi kelegaan daripada faktor kos, ia juga dapat membantu menjadikan dunia lebih bersih tanpa sebarang emisi yang terhasil.

Itulah ciri utama untuk Nissan Leaf Serba Baharu, kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) yang dipandu uji Vroom minggu ini.

Model generasi kedua yang dilancarkan pada 2019 untuk pasaran Malaysia ini tampil dengan ciri rekaan lebih bergaya.

Melihat kepada rekaan luaran, ia berkonsepkan berlian dan didatangkan dengan ciri signatur utama Nissan yang terdapat pada semua model baharu seperti gril hadapan V-Motion serta rekaan lampu nyalaan siang (DRL) bentuk 'boomerang'.

Ia datang dengan lampu utama dan belakang LED, selain terdapat lampu kabus dan padanan rim aloi 17 inci potongan berlian 'Turbine'.

RUANG kabin dengan papan pemuka ciri teknologi.
RUANG kabin dengan papan pemuka ciri teknologi.

Nissan Leaf ini didatangkan dengan pilihan warna luaran dua tona pada bumbung menjadikan ia tampil lebih sporty.

Spoiler belakang pula bersepadu dengan pintu. Elemen 'difusser' pada bampar pula untuk ciri prestasi dan aerodinamik.

Menjengah ke ruang dalaman dengan gaya ringkas, namun premium, ia cukup menyerlah dengan kemasan gelap Hitam Graphite.

Pada bahagian papan pemuka, ia disertakan dengan pemain multimedia bersaiz lima inci dengan ciri hiburan radio, pemain cakera padat, kamera undur dan ketersambungan Bluetooth untuk disambungkan ke telefon pintar.

Selain itu, paling menarik ialah roda stereng 'flat bottom' yang sentiasa penulis gemari kerana menampilkan elemen gaya prestasi selain terdapat beberapa butang seperti fungsi audio, telefon bebas tangan dan pelayaran.

Di belakangnya adalah paparan meter maklumat bersaiz tujuh inci analog dan digital dengan ciri boleh ubah mengikut maklumat yang ingin dipaparkan seperti speedometer dan paparan kuasa bateri.

Pada konsol tengah, terdapat butang penyaman udara automatik, penghidup enjin pintar, sambungan USB, pemanas kerusi dan brek parkir elektronik (E-PKB).

Selain pilihan mod pemanduan, tuil gear bentuk bulat juga tampil unik dengan padanan biru dan hitam serta terdapat ruang meletak cawan minuman untuk kemudahan pemandu.

Kerusi pemandu dan penumpang pula dihasilkan daripada kulit Alcantara.

Untuk pemanduan, apa yang paling menarik untuk dikongsi ialah, ia bukan enjin daripada pembakaran bahan api tetapi elektrik sepenuhnya.

Enjin cukup senyap sebaik kereta dihidupkan dan penulis tidak dapat mengagak sama ada ia sudah dihidupkan atau sebaliknya, hanya berpandu pada paparan meter pemandu sahaja.

PENGECAS pantas awam di lokasi terpilih.
PENGECAS pantas awam di lokasi terpilih.

MENGGUNAKAN kuasa elektrik 100 peratus.
MENGGUNAKAN kuasa elektrik 100 peratus.

Untuk pacuan, trenkuasanya dijana dengan elektrik motor 110kW AC Synchronous yang menghemburkan kuasa 150PS dan tork maksimum 320 Nm.

Ia sangat responsif dengan kelajuan tertinggi sehingga 155 kilometer/sejam (km/j).

Meskipun menggunakan transmisi kelajuan tunggal 'Reduction', Nissan Leaf ini terasa sangat lancar dan ringan malah pada kelajuan tinggi, ia masih memberikan kawalan yang baik pada selekoh melalui sistem suspensi 'Independent Strut' hadapan dan 'torsion beam' untuk belakang.

Sebagai kereta elektrik, sudah pasti bukan kepantasan adalah faktor utama tetapi lebih kepada bagaimana kita merancang perjalanan dan mengawal kuasa daripada elektrik itu.

Ini boleh dilakukan melalui empat mod pemanduan iaitu D Mode untuk pemanduan biasa dengan tork yang responsif, B Mode untuk memaksimumkan jarak perbatuan dengan bantuan pengecasan bateri daripada brek.

Untuk Eco Mode, ia akan menghadkan aliran kuasa bagi menjimatkan tenaga bateri dan B-Eco Mode sesuai ketika menuruni bukit bagi sistem brek yang dipertingkatkan bagi mengurangkan 'wear-and-tear' padanya.

RUANG but 435 liter.
RUANG but 435 liter.

Selain itu, jika memilih fungsi e-Pedal, ia memudahkan lagi pemanduan dengan hanya satu pedal tanpa perlu menekan brek. Sebaik pedal minyak diangkat, sistem brek akan mengambil alih dan begitulah sebaliknya.

Melalui satu pengecasan penuh bateri Lithium-ion 40kWh, ia mampu mencapai jarak sehingga 300km namun bergantung kepada corak dan gaya pemanduan.

Ketika penulis mengambil Nissan Leaf ini untuk pandu uji, ia sudah dicas pada kapasiti 98 peratus dengan indikasi meter yang mampu bergerak sehingga 276km, namun penulis hanya mencatatkan sekitar 200 km kerana sering memandunya pada pelbagai kelajuan bagi tujuan pandu uji sebelum dicas kembali.

Selain jimat dan mesra alam, ia juga datang dengan ciri keselamatan terbaik seperti enam beg keselamatan dan Sistem Brek Janaan Semula.

Sebagaimana model lain, Nissan Leaf turut dilengkapi antaranya Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Pengagihan Daya Break Elektronik (EBD).

Secara keseluruhannya, Nissan Leaf Serba Baharu ini mempunyai kelebihan tersendiri terutama daripada segi kos bahan api sifar serta tanpa perlu memikirkan minyak enjin dan penyelenggaraan berkala.

Ramai yang berminat untuk memiliki kenderaan elektrik (EV) namun faktor seperti harga, kemudahan mengecas dan ketahanan bateri sering menjadi persoalan utama.

Penulis akui sepanjang pandu uji selama tiga hari, antara kerisauan utama ialah jika kehabisan bateri di lokasi yang tiada pusat pengecasan berhampiran.

Namun Nissan Leaf ini didatangkan dengan tiga pilihan mengecas iaitu pengecas Outlet standard, Kotak Pengecas Dinding (Wall Box Charger) (Type1) dan Pengecas Pantas CHAdeMO (Quick Chargers).

Untuk Kotak Pengecas Dinding 6.6kW yang disertakan dengan setiap pembelian kenderaan ini, ia akan mengambil masa sekitar tujuh jam sehingga kapasiti bateri penuh.

Untuk pengecasan lebih pantas, CHAdeMO 50kW hanya mengambil masa 60 minit sahaja yang disediakan di Nichicon (Malaysia) Bandar Baru Bangi, Selangor, ABB Malaysia, Subang Jaya dan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Ayer Keroh Melaka arah selatan.

Untuk pasaran Malaysia, Nissan Leaf Serba Baharu ini adalah impot sepenuhnya (CBU) dari Jepun yang dijual pada harga RM181,263 (atas jalan tanpa insurans) dengan jaminan pengeluar selama tiga tahun atau 100,000km termasuk tiga tahun penyelenggaraan servis atau 60,000km dan jaminan lapan tahun untuk bateri Lithium-ion.

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) sebagai pengedar utama Nissan di Malaysia juga menawarkan program langganan Nissan Leaf dengan kontrak selama dua tahun dan bayaran bulanan sekitar RM2,500.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 6:28 AM
TAMPIL gaya ‘hatchback sporty’.
TAMPIL gaya ‘hatchback sporty’.
含羞草实验室入口-含羞草免费人成视频在线观看