X
PENDUDUK menunggu untuk menerima vaksin Sputnik V Covid-19 di klinik diuruskan UNRWA di kem pelarian Palestin di Rafah, Semenanjung Gaza.
PENDUDUK menunggu untuk menerima vaksin Sputnik V Covid-19 di klinik diuruskan UNRWA di kem pelarian Palestin di Rafah, Semenanjung Gaza.
Nadir Al-Nuri

SAYA tidak pernah mendengar isu anti vaksin di Gaza. Malah, saya sendiri bersama isteri adalah generasi kedua pelarian Palestin dari tanah asal dengan penuh taat setia terhadap arahan pemerintah mendapatkan suntikan vaksin berperingkat secara percuma untuk anak-anak kami di klinik yang diuruskan United Nations Relief And Works Agency (UNRWA) sehingga berumur dua tahun.

Lebih ganjil saya tidak pernah mendengar bahawa vaksin adalah agenda Yahudi atau Illuminati walaupun kami berjiran dengan mereka.

Begitu juga dengan isu menjarakkan saf solat, memakai topeng muka dan mempercayai kewujudan Covid-19.

Lebih menarik ketika wabak Covid-19 melanda Gaza dengan teruk, mufti di sini mengeluarkan fatwa bahawa mereka yang sengaja keluar meninggalkan rumah, tidak menjaga penjarakan sosial dan tidak memakai topeng muka adalah berdosa dan berbuat maksiat.

Saya menganggap bahawa hukum yang sama jatuh ke atas mereka yang enggan menjaga maslahat awam dengan menolak vaksin dan mencegah diri sendiri, keluarga serta masyarakat daripada dijangkiti wabak.

Sedihnya, ia juga suatu bentuk kufur nikmat. Kenapa saya sebutkan sedemikian? Ia disebabkan bekalan vaksin masuk ke Gaza dengan sangat susah.

Ketika mula-mula isu vaksin Sinovac, Sputnik dan Pfizer mendapat perhatian media dan dunia sibuk membincangkan mana yang terbaik dan mana yang hendak dibeli, penduduk Gaza acuh tak acuh sahaja.

Penduduk Gaza tahu apa-apa nikmat yang akan dirasai dunia luar, merekalah yang paling akhir akan merasainya dan mereka tidak ada hak untuk membuat pilihan pun vaksin mana yang dikehendaki.

Mana yang ada negara nak sumbang, mana yang Israel benarkan masuk, itulah yang akan dicucuk. Jangkaan mereka tepat.

1,001 alasan digunakan oleh Israel untuk menghalang vaksin daripada masuk. Menteri Kesihatan Israel, Yuli Edelstein menyebutkan bahawa mengikut Perjanjian Oslo, pihak Palestin sendiri bertanggungjawab menjaga kesihatan rakyatnya.

Kenyataan Edelstein disangkal oleh pakar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia apabila merujuk kepada Artikel 56 Konvensyen Geneva yang dengan jelas menyebutkan bahawa Israel sebagai kuasa penjajah bertanggungjawab mendapatkan, menghantar dan mengagih vaksin Covid-19 kepada penduduk Palestin di bawah jajahannya.

Israel malah, bermain dengan nyawa penduduk Palestin apabila sebelum ini cuba menjadikan vaksin sebagai barang rundingan dan meletakkan pembebasan tentera Israel yang berada di dalam tahanan Hamas di Gaza, Hadar Goldin sebagai syarat vaksin berkenaan dibenarkan untuk dibawa masuk ke semenanjung itu.

Pada masa sama, Israel adalah negara paling terkedepan di dunia dalam program vaksin untuk penduduknya. Setakat minggu ini, sepertiga penduduk Israel sudah mendapatkan dua dos vaksin.

Di peringkat Gaza, pada 22 Februari yang lalu akhirnya vaksin Sputnik dibenarkan untuk dibawa masuk, itu pun dalam kuantiti yang sangat kecil.

Setakat hari ini, hanya 20,000 dos vaksin Sputnik yang disumbangkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dibawa masuk ke Gaza selain 2,000 dos lagi yang disumbangkan Russia secara terus.

Akibat kuantiti yang sangat kecil, jurucakap Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza menyebutkan bahawa tidak seperti di negara lain yang memberikan keutamaan vaksin kepada pekerja kesihatan di barisan hadapan, Gaza terpaksa mendahulukan kelompok paling berisiko seperti mereka yang telah menjalani pembedahan pemindahan organ dan juga warga tua yang mempunyai masalah buah pinggang.

Pada waktu orang lain mempunyai masa yang banyak untuk berbalah dan bertelagah berkaitan status halal dan haram vaksin serta pro dan kontranya, penduduk Gaza yang sibuk dengan perjuangan pembebasan Al-Aqsa terpaksa memilih dengan cermat nyawa siapa yang hendak diselamatkan dan nyawa siapa yang terpaksa digadaikan.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 6:30 AM
    含羞草实验室入口-含羞草免费人成视频在线观看