PERSEMBAHAN secara atas talian dapat membantu artis tempatan yang berkarya untuk seni tradisional.
PERSEMBAHAN secara atas talian dapat membantu artis tempatan yang berkarya untuk seni tradisional.
Hafiz Ithnin

MEMANDANGKAN pandemik Covid-19 belum menemui penghujungnya, pengkarya seni persembahan perlu lebih kreatif untuk menghidangkan karya mereka kepada umum.

Justeru, Program Rentak Selangor yang dilaksanakan sejak 2016, baru-baru ini terus melaksanakan program berkenaan secara dalam talian.

Program Rentak Selangor adalah platform kepada artis persembahan tradisional dari Selangor untuk menonjolkan seni muzik dan tari.

Ia bermatlamat menyemarakkan seni, budaya dan warisan dengan menyediakan landasan persembahan serta ruang untuk berkongsi ilmu kepada tokoh warisan budaya dan penggiat seni budaya dari segi pelbagai komuniti di Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Borhan Aman Shah berkata, program secara dalam talian itu diadakan pada 28 Februari lalu boleh ditonton secara ulangan di laman Facebook rasmi Rentak Selangor.

Katanya, setakat ini, video persembahan Rentak Selangor mendapat maklum balas positif apabila meraih 62,000 tontonan.

PERSEMBAHAN daripada Orang Asli Bahbola turut dipertontonkan kepada penonton secara atas talian.
PERSEMBAHAN daripada Orang Asli Bahbola turut dipertontonkan kepada penonton secara atas talian.

PERSEMBAHAN dalam Rentak Selangor penuh warna-warni dan penonton dapat mempelajari kepelbagaian budaya.
PERSEMBAHAN dalam Rentak Selangor penuh warna-warni dan penonton dapat mempelajari kepelbagaian budaya.

"Di Selangor, kita dapat lihat ada banyak suku kaum. Contohnya suku kaum Bugis, Jawa, Rawa dan Banjar.

"Mereka datang dari pelbagai tempat ke negeri ini dan membawa bersama budaya mereka. Kemudian, berasimilasi dalam komuniti kita. Jadi, melalui program Rentak Selangor ini, kita satukan budaya ini dan persembahkan kepada masyarakat umum," katanya.

Jelasnya, program itu adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk menonjolkan kepelbagaian budaya di Selangor dan membantu penggiat seni yang tidak pernah lelah untuk terus memartabatkan budaya setempat.

"Ia juga menjanjikan santapan minda kepada rakyat Selangor dan khalayak ramai terutama kepada anak muda yang bakal mewarisi peradaban serta warisan negara.

"Tahun ini menyaksikan program Rentak Selangor dilaksanakan dalam format baharu iaitu dalam bentuk rakaman digital dan langsung di platform media sosial, berbanding format 'media familiarisation trip' pada tahun sebelum ini," katanya.

KEUNIKAN persembahan masyarakat Orang Asli Bahbola.
KEUNIKAN persembahan masyarakat Orang Asli Bahbola.

Katanya, rakaman program itu dilaksanakan mengikut garis panduan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengurangkan sentuhan fizikal.

"Langkah proaktif ini juga seiring usaha kerajaan negeri untuk meneroka inisiatif pendigitalan yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada rakyat, lebih-lebih lagi buat generasi akan datang," katanya.

Program Rentak Selangor menampilkan kepelbagaian seni warisan budaya yang diamalkan oleh komuniti tempatan di Selangor iaitu komuniti Melayu, Cina, India dan Orang Asal seperti seni muzik cempuling yang diiktiraf sebagai identiti Selangor, angklung, gordang 9, tarian joget Selangor, tarian merak dan tarian singa.

Jelasnya lagi, pandemik Covid-19 yang melanda dunia pada hari ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi dunia, malah turut mengubah landskap kehidupan masyarakat.

"Kami akan pelbagaikan lagi program seumpama ini supaya sedikit sebanyak membantu artis budaya di Selangor untuk meneruskan kelangsungan dalam norma baharu," katanya.

KEPELBAGAIAN bangsa di Selangor menjadikan seni persembahan negeri yang menarik untuk dipelajari.
KEPELBAGAIAN bangsa di Selangor menjadikan seni persembahan negeri yang menarik untuk dipelajari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 6:30 AM
含羞草实验室入口-含羞草免费人成视频在线观看