Foto hiasan
Foto hiasan
Mohd Roji Kawi

Sri Aman: Lelaki hilang ketika menyelam untuk melepaskan mata kail yang tersangkut di dasar sungai di Nanga Skrang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada 3 petang itu, Taid Jepit, 61, dikatakan memancing di tebing sungai itu sendirian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, mata kailnya dikatakan tersangkut dan lelaki itu bertindak menyelam untuk melepaskannya.

Menurutnya, mangsa yang tinggal di Rumah Panjang Francis Kaong, Nanga Skrang tidak muncul kembali ke permukaan menyebabkan ada penduduk percaya mangsa dibaham buaya.

"Menurut seorang saksi, mangsa pandai berenang dan penduduk mengesyaki dia menghadapi masalah ketika berada di dasar sungai itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.43 petang semalam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut dibantu lapan anggota polis, sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta 30 penduduk kampung.

"Sehingga 11 pagi ini, SAR masih gagal mengesan mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 1:05 PM
含羞草实验室入口-含羞草免费人成视频在线观看