TULAR di media sosial Facebook dakwaan seorang pembantu tukang masak dikenakan kompaun SOP PKPB secara tidak wajar. FOTO Ihsan Pembaca.
TULAR di media sosial Facebook dakwaan seorang pembantu tukang masak dikenakan kompaun SOP PKPB secara tidak wajar. FOTO Ihsan Pembaca.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Pihak polis tidak pernah mengeluarkan sebarang kompaun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara tidak wajar terhadap seorang tukang masak seperti mana tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menjalankan siasatan susulan satu isu pertikaian berkenaan kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang berlaku di Kampung Rapat di sini.

Perkara itu turut dimuat naik di Facebook 'Kuan Chee Heng' dan dikongsikan oleh Facebook 'Najib Razak'.

"Semakan pihak kami mendapati tiada kompaun sebegini dikeluarkan oleh pasukan pemeriksa SOP PKPB polis daerah Ipoh.

"Sementara, semakan lanjut dengan pemilik akaun 'Kuan Chee Heng' juga mendapati bahawa pengadu gagal dihubungi melalui nombor telefon yang diberikan oleh pemilik akaun laman sosial itu," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

A Asmadi berkata, susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh Ketua Polis Balai Kampung Rapat berhubung tular berkenaan bagi menyiasat punca sebenar yang berlaku.

Beliau menegaskan PDRM Daerah Ipoh sentiasa menjalankan amanah penguatkuasaan undang-undang dengan adil dan profesional, khususnya dalam membantu mengawal penularan wabak Covid-19 melalui tindakan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

"Masyarakat dinasihatkan agar sentiasa peka dan mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

"Dalam perkara sebegini, diharapkan agar segala permasalahan, pertikaian, maklum balas mengenai tindakan undang-undang oleh pihak polis disalurkan melalui saluran yang betul dan bukan disebarkan sewenang-wenangnya melalui media sosial tanpa disokong oleh fakta sebenar," katanya.

Terdahulu tular di media sosial seorang individu yang bekerja sebagai pembantu tukang masak didakwa dikenakan kompaun RM10,000 ketika keluar di lorong belakang kedai untuk menghisap rokok.

Individu dikatakan berada dalam keadaan buntu dan tidak mampu menghantar wang bulanan kepada ibu yang sakit kerana terpaksa berhutang membayar saman selain gaji sudah dipotong.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 12:15 AM
    含羞草实验室入口-含羞草免费人成视频在线观看