GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Melaka: Polis menahan tujuh lelaki dan merampas 20 kilogram daun ketum serta 57 liter air ketum dalam serbuan di sebuah rumah kedai kosong yang disyaki dijadikan tempat pemprosesan air ketum di Taman Desa Taming Sari di Sungai Udang di sini, awal pagi, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, tujuh lelaki berusia lingkungan 40-an yang disyaki terbabit menjalankan aktiviti memproses dan menjual air ketum itu ditahan dalam Ops Sarang pada 4.30 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis berkenaan dijadikan tempat memproses dan menjual air ketum sejak kira-kira tiga bulan lalu, dan air ketum dijual pada harga RM10 sebungkus atau seliter.

"Daun ketum disyaki diperoleh dari utara tanah air, dan diproses bagi memenuhi permintaan di sekitar Sungai Udang.

"Pelbagai alatan memasak dipercayai digunakan untuk memproses air ketum turut dirampas seperti periuk, dapur gas dan tong gas," katanya kepada pemberita selepas Op Sarang JSJN Melaka di sini, hari ini.

Sementara itu dalam operasi di sekitar Sungai Udang dan Krubong termasuk di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitasi Sungai Udang serta Tapak Pelupusan Sampah di Krubong dari 2 pagi hingga 5.30 petang itu, seramai 71 lelaki dan enam wanita berusia 16 hingga 68 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Zulkiflee berkata, operasi bersepadu itu membabitkan 173 anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa antaranya polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 9:17 PM
含羞草实验室入口-含羞草免费人成视频在线观看