Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mahu setiap Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang siap dibina duduki dalam tempoh tiga bulan berbanding enam bulan sebelum ini.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, ia bagi mengelakkan PPR berkenaan terbiar dan mengalami kerosakan terutama akibat vandalisme jika tempoh pengisian mengambil masa yang lama.

Katanya, antara punca kekosongan PPR dalam tempoh lama selepas disiapkan ialah menunggu kelulusan pinjaman bank.

"Bila ramai tidak layak, unit-unit PPR sudah siap dibina terbiar kosong. Oleh itu, KPKT mahu beri dahulu individu layak atau sudah dikenal pasti menduduki dahulu unit PPR yang siap dalam tempoh dua tahun sementara mereka menyelesaikan isu kewangan mereka dalam tempoh itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau PPR Sungai Melana Fasa II di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, KPKT juga akan memberikan tempoh tambahan setahun lagi menjadikannya tiga tahun bagi keluarga yang mengalami masalah kewangan 'tulen' selepas diberi kebenaran menduduki PPR.

"Kita tahu kebanyakan keluarga tidak mengalami masalah membayar sewa bulanan namun bermasalah mendapatkan pinjaman bank bagi sewa beli PPR yang ditawarkan.

"Namun KPKT akan beri tempoh tambahan hanya setahun lagi dan sekiranya tidak berjaya juga, mereka perlu memberi laluan kepada pemohon lain menduduki unit PPR berkenaan," katanya.

Terdahulu, Zuraida diiringi Steven dan Mazlan mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Sinaran Kempas, di sini, bagi menyelesaikan masalah setinggan di situ yang berlarutan lebih 20 tahun.

"KPKT bersetuju untuk menempatkan 500 penduduk setinggan di Kampung Sinaran Kempas yang tinggal di sepanjang rel kereta api di situ, dipindahkan ke PPR Sungai Melana Fasa II yang mempunyai 1,450 unit.

"Kerajaan Johor akan mengadakan perbincangan lanjut dengan penduduk setinggan Kampung Sinaran, Kempas, dalam masa terdekat dan KPKT meminta penduduk berkenaan diberikan keutamaan menduduki PPR Sungai Melana Fasa II," katanya.

Zuraida (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan,Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Melana Fasa 2, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Zuraida (tengah) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan,Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Melana Fasa 2, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 6:55 PM
含羞草实验室入口-含羞草免费人成视频在线观看