Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sektor pelancongan belum menunjukkan tanda pemulihan yang baik berbanding beberapa sektor lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya perkara berkaitan sektor itu diteliti dan dibentangkan dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

"Industri pelancongan adalah paling teruk terkesan yang mana sektor lain seperti pembuatan serta pertanian sudah ada tanda pemulihan, tetapi sektor pelancongan masih lagi berada di tahap jauh lebih rendah daripada sebelum ini.

"Umpamanya (kemasukan) pelancong kita pada 2019 melebihi 26.1 juta manakala tahun lalu cuma 4.3 juta, sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 83.4 peratus.

"Saya rasa sudah tiba masanya kita siapkan kertas cadangan yang diketuai Menteri Pelancongan untuk dibentangkan kepada MTEN bagi kita mendengar hal terkini mengenai sektor pelancongan," katanya ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha industri pelancongan di sini, hari ini.

Mustapa berkata, dalam pertemuan yang diadakan hampir dua jam itu juga, pemain industri pelancongan dan pengusaha bas ekspres memohon agar diberikan pertimbangan istimewa termasuk moratorium bayaran balik pinjaman tanpa syarat.

Katanya, beliau akan cuba membawa cadangan itu kepada kementerian berkaitan bagi melihat secara terperinci penyelesaian yang boleh diambil terhadap sektor yang dianggap antara paling teruk terjejas.

"Pengusaha bas ekspres memaklumkan sekarang mereka hanya mampu menggerakkan 20 peratus daripada perkhidmatan, pada masa sama menanggung hutang yang sangat tinggi.

"Selain itu mereka juga memohon supaya dilanjutkan tempoh maksimum penggunaan kenderaan iaitu daripada 10 tahun kepada 13 tahun," katanya.

Beliau berkata, kebenaran untuk rentas negeri sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pemain industri khususnya pengusaha hotel yang mungkin boleh menghidupkan kembali perniagaan mereka menerusi penginapan, penganjuran program atau seminar di hotel.

Menurutnya, mereka turut membentangkan usul supaya mereka yang terbabit dalam sektor pelancongan diberikan hak keistimewaan termasuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

"Semua yang dibentangkan hari ini akan didengari dan disampaikan kepada kementerian kerana pelancongan adalah sektor yang penting," katanya.

MUSTAPA (kiri) diiringi oleh  Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman (tiga kanan) beramah mesra dengan pengusaha Industri Pelancongan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
MUSTAPA (kiri) diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman (tiga kanan) beramah mesra dengan pengusaha Industri Pelancongan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 6:31 PM
含羞草实验室入口-含羞草免费人成视频在线观看