X
HADAPI ujian hidup  dengan kesabaran dan memohon pertolongan  Allah, bukan berputus asa lantas mencabar hukum dan ketetapan Allah SWT.
HADAPI ujian hidup dengan kesabaran dan memohon pertolongan Allah, bukan berputus asa lantas mencabar hukum dan ketetapan Allah SWT.
Datuk Mohd Ajib Ismail

ANTARA anugerah paling bernilai yang dikurniakan Allah SWT di dalam kehidupan manusia adalah nikmat Islam dan iman. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: "…Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) daripada agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepada-Ku. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah reda Islam itu menjadi agama untuk kamu…"

Orang yang beriman memiliki darjat yang tinggi di sisi Allah SWT sebagai mana firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Ali 'Imran ayat 139 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."

Nabi Muhammad SAW melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi bersabda yang bermaksud: "Islam itu tinggi dan tiada yang mengatasi ketinggiannya."

Orang yang beriman mempunyai matlamat dan hala tuju yang jelas dalam kehidupan. Penghayatan terhadap rukun Islam dan rukun Iman dengan sebenar-benarnya akan melahirkan manusia yang sentiasa menyerahkan kebergantungan kepada Allah SWT di dalam sebarang urusan. Nikmat Islam dan iman akan membentuk keperibadian Muslim yang bersyukur, sabar, reda, jujur, amanah, tawaduk (rendah diri), adil, tekun dan sebagainya. Melalui nilai-nilai yang dianjurkan oleh ajaran Islam, manusia berupaya mengatur hubungan dengan Allah SWT serta sesama manusia dengan sempurna.

Nikmat Islam dan iman memandu manusia mengharungi realiti kehidupan serta mendorong agar sentiasa merenung dan memikirkan kesudahan kehidupan di hari akhirat yang kekal abadi dalam kesibukan mengecapi kejayaan dan kebahagiaan.

Pelbagai asbab manusia mendapat nikmat Islam dan iman sama ada memilikinya semenjak lahir atau memperoleh hidayah memeluk agama Islam di dalam pertengahan jalan kehidupan. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 56 yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)."

Justeru, Nabi Nuh AS sendiri misalnya tidak dapat memberi hidayah kepada anaknya, Nabi Ibrahim AS tidak mampu memberi hidayah kepada bapanya bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri tidak dapat memberi hidayah kepada bapa saudara yang baginda kasihi.

Setiap individu Muslim bertanggungjawab memelihara nikmat Islam dan iman dalam diri kerana sifatnya yang sentiasa bertambah dan berkurang. Iman bertambah apabila seseorang berterusan melakukan amalan kebajikan dan ketaatan manakala berkurang apabila berterusan melakukan maksiat dan amalan sia-sia. Firman Allah di dalam surah al-Anfal ayat 2 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal." Di dalam ayat yang lain surah al-Taubah 124, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan apabila diturunkan satu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata: "Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini? "Adanya orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya, sedang mereka berasa gembira."

Setiap seorang Muslim akan berusaha bersungguh-sungguh melakukan amalan yang dapat memantapkan iman jika didorong oleh keyakinan bahawa balasan syurga Allah SWT menantinya sebaliknya balasan siksaan neraka bagi yang mengingkari perintah-Nya. Allah SWT juga mengutuskan Rasul dengan pelbagai mukjizat agar manusia yakin dengan risalah Islam yang disampaikan. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah Ali 'Imran bermaksud: "Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (daripada perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat daripada Tuhan kamu. Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku."

Di dalam sejarah Islam, sahabat mempertaruhkan nyawa bagi mempertahankan iman. Bilal bin Rabah, Sumayyah serta ahli keluarganya diseksa oleh kaum kafir Quraisy dengan pelbagai bentuk siksaan sehingga mati syahid. Mereka dibawa ke tengah-tengah padang pasir ketika panas terik mentari lalu dipakaikan baju besi. Mereka juga tidak diberikan air untuk menghilangkan dahaga sehingga pengsan. Saban hari mereka diseksa namun tidak sekalipun kata-kata kufur keluar daripada mulut Yasir dan keluarganya.

Justeru, walau apapun ujian yang melanda kehidupan janganlah sampai menggadaikan iman. Gaya hidup yang tidak memberikan penekanan kepada kehidupan beragama mendedahkan orang Islam kepada kerapuhan iman. Akhirnya keyakinan terhadap Allah mudah terhakis. Kemuncak kepada krisis keyakinan terhadap Allah akan mendorong tindakan murtad atau keluar daripada Islam. Sebaliknya, hadapilah ujian kehidupan dengan kesabaran dan memohon pertolongan daripada Allah, bukan berputus asa kemudian mencabar hukum dan ketetapan Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 153 bermaksud: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar."

Umat Islam tidak seharusnya mudah menyerah kalah dan memilih jalan singkat dalam mendepani permasalahan. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran surah al-Hijr ayat 56 yang bermaksud: "Nabi Ibrahim berkata, Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa daripada rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat."

Marilah kita semua berdoa untuk diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat agar dijauhkan daripada sebarang tindakan yang menggadaikan nikmat Islam dan iman sebagaimana maksud sebuah hadis: "Ya Allah berikanlah petunjuk kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau beri petunjuk dan berilah kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang Engkau telah berikan kesihatan dan peliharalah daku sebagaimana orang yang telah Engkau peliharakan dan berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan dan selamatkan aku dengan rahmat-Mu daripada bahaya kejahatan yang telah Engkau tentukan." (Hadis riwayat Abu Daud)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 6:30 AM
含羞草实验室入口-含羞草免费人成视频在线观看